RATU CANTIK, RATU FESYEN, RATU FILEM , RATU SUKAN


Wajarkah JAIS-Jabatan Agama Islam Sarawak memanggil 5 peserta Ratu Cantik Borneo (MBB)yang beragama islam untuk diberi Kaunseling Aurat ? Jika tindakan ini difikirkan wajar demi menjaga maruah perempuan islam, mengapa 75 orang lagi perempuan islam yang memohon untuk menyertai pertandingan itu tidak dipanggil sama atas dasar mencegah sebelum parah? Difahamkan bahawa daripada 200 lebih permohonan untuk menyertai MBB, hampir 80 daripadanya adalah wanita Islam tetapi hanya lima dipilih penganjur.


Pertemuan selama hampir dua jam itu telah dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Putit Mat Zen, Pengarah JAIS, Abang Shamsudin Abang Seruji, Mufti Sarawak, Kipli Yassin serta pegawai Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah, JAIS. Syabas atas sikap mereka yang amat prihatin !!!
Menurut kata Abang Shamsudin Abang Seruji, Pengarah JAIS "Mana-mana pertandingan ratu cantik tetap haram berdasarkan hukum syarak, namun kita tidak boleh mengambil tindakan ke atas penganjur MBB dengan kesedaran harus ada di kalangan umat Islam terutamanya ibu bapa sendiri. Kita telah memberi penerangan secukupnya mengenai aurat wanita kepada lima peserta berkenaan dengan tindakan seperti mengarahkan mereka menarik diri tidak dibuat berdasarkan situasi umat Islam di Sarawak yang agak berbeza”


Masyarakat islam tiba tiba menumpukan pandangan kepada para Ratu Cantik tetapi hampir memejamkan mata, menutup pandangan terhadap Ratu Fesyen, Ratu Filem dan Ratu Sukan dan pelbagai Ratu di AF, Ratu di malam Anugerah AIM yang tidak kurang seksi dan menjolok mata. Mengapa mesti ada Double Standard?
Perdana Menteri (kini telah bersara) telah mengusulkan supaya seorang Mufti di Selangor dipecat kerana mengambil tindakan keatas peserta ratu Cantik tidak lama dulu. Tindakan itu telah menimbulkan kecelaruan minda kepada ramai remaja perempuan antara mana yang betul dan mana yang benar ?


Ramai remaja perempuan sering jadi mangsa keliru dalam sistem pendidikan yang tidak bersepadu. Para Ustaz dan Ustazah mengajar tentang aurat dan menekankan supaya berpakaian menutup aurat. Guru Seni dan Ahli Kebudayaan lain pula ceritanya. Di sekolah sering dianjurkan aktiviti pakaian beragam, pertunjukan fesyen, aktiviti sebegini telah menjadikan pelajar perempuan bertambah bercelaru. Bagaimana pula bila tiba pada aktiviti pendidikan jasmani, musim sukan tahunan disekolah masing-masing, sukan peringkat daerah dan negeri serta sukan peringkat kebangsaan apatalagi peringkat sukan SEA, Olimpik. Lihatlah pakaian ahli sukan perempuan baik di jelapang, lebih parah di kolam renang dan di dewan gymnastic.


Bagaimanakah satu sistem tindakan bersepadu dan berterusan dapat dibentuk ? Bermula dari rumah sampai ke sekolah sehingga ke mana-mana ?? Sama-samalah kita renungkan dan mulakan !!!

0 ulasan: